Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, semua pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini bagaimanapun, gagal melarikan diri akibat terperangkap di satu unit rumah di tingkat tiga. Mereka terpaksa diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan tangga untuk turun dari rumah tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, beliau dihubungi penduduk yang mengadu sekumpulan 10 pelajar ponteng sekolah dan berkumpul di satu unit rumah tidak berpenghuni di tingkat empat Rumah Pangsa Lobak. Menurutnya, dua guru sekolah berkenaan datang tidak lama kemudian untuk menangani masalah itu. “Saya juga menghubungi polis yang datang tidak lama kemudian. Menyedari kehadiran polis, para pelajar itu panik dan cuba melarikan diri. “Enam daripada mereka termasuk seorang pelajar perempuan bertindak turun dari serambi di dapur rumah ke tingkat tiga tetapi, mendapati mereka terperangkap di dalam rumah yang berkunci,” katanya di sini hari ini. Seh Yong memberitahu, pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu pelajar terbabit turun dari tingkat tiga menggunakan tangga dan operasi itu selesai kira-kira pukul 10.30 pagi. Enam pelajar berkenaan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya. Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Seremban, K.Putthisigmany berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan kira-kira pukul 9.13 pagi. “Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan sebuah ambulan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan dari Balai Bomba Seremban bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan para pelajar tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE