Pertelingkahan bermula apabila kumpulan yang ditubuhkan sekitar 20 tahun lalu itu mengambil keputusan merehatkan Lan setelah penyanyi tersebut memilih untuk menyertai program nyanyian popular, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Kristal, Lan membuat keputusan untuk bergerak solo tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan ahli kumpulan lain.

Bagaimanapun, menurut Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof pula, kontrak bersama Kristal tamat pada Julai 2017 dan dia menyertai GV4 dua bulan kemudian.

Sungguhpun isu berkenaan agak hangat diperkatakan dan kedua-dua pihak dilihat sering mengeluarkan kenyataan balas, namun Lan akhirnya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada 27 November 2017, sebelum dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga GV4 beberapa minggu kemudian.

Selesai isu pengunduran dan Lan dilihat semakin berjaya membawa haluan sebagai penyanyi solo, kumpulan Kristal dalam masa sama sibuk mencari pengganti untuk mengisi kekosongan kerusi vokalis.

Sementara mencari pengganti, penyanyi Kecik Ogie yang dahulunya merupakan vokalis kumpulan Hyper Act kerap diundang setiap kali mereka menjayakan persembahan pentas.

Hampir beberapa kali juga Kecik meminjamkan suara dan khidmatnya bagi melengkapi Kristal yang masih mencari calon sesuai untuk menggantikan Lan.

Sehinggalah sekitar dua bulan lalu, iaitu sewaktu Kristal bercadang untuk menerbitkan single terbaharu, mereka bersepakat menyerap Kecik untuk menyertai kumpulan tersebut secara rasmi.

Ditanya mengenai kriteria yang ada pada Kecik sehingga Kristal tertarik untuk melamar lelaki itu, Rodi, 32, mewakili anggota kumpulan berkata, Kecik memiliki keunikan tersendiri.